Laman Web
MAJLIS JAMUAN TEH DIRAJA BERSAMA PESARA-PESARA KERAJAAN
KATA ALU-ALUAN PENGERUSI JAWATANKUASA PENGANJUR

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Waramutallahiwabarakatuh,
Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T dan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, kita sekali lagi ditemukan dalam Majlis Jamuan Teh DiRaja Bersama Pesara-Pesara Kerajaan Sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-69.
Setelah tiga tahun diadakan, majlis ini semakin popular dan menjadi sebutan dikalangan pesara-pesara kerajaan yang bermastautin di Negeri Selangor. Perkembangan ini amat menggalakkan kerana cetusan idea Duli Yang Maha Mulis Sultan Selangor pada tahun 2011 itu ternyata membuah hasil dan menepati matlamatnya dimana pesara-pesara yang hadir berasa amat bangga diundang dan bersama-sama dapat meraikan sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Tahun ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan untuk menambah bilangan kehadiran kepada 2000 orang berbanding dengan 1500 orang pada tahun lalu. Tambahan ini untuk membolehkan lebih ramai pesara-pesara polis dan tentera peluang hadir ke majlis ini.
Pada tahun ini, Jawatankuasa Penganjur sekali lagi menerbitkan sebuah Direktori Kenangan yang memuatkan maklumat-maklumat penting dan gambar pesara-pesara baru yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan yang hadir.
Diharapkan Direktori Kenangan ini akan terus mendapat sambutan dan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memilikinya untuk tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim.
Bagi pihak Jawatankuasa Pengajur, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang telah membantu penganjuran majlis ini. Penghargaan khas juga diberikan kepada Syarikat Worldwide Holdings Berhad yang telah menaja sepenuhnya penerbitan Direktori Kenangan ini. Begitu juga setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad yang telah menaja ruang iklan penerbitan.
Sesungguhnya kehadiran pesara-pesara di majlis ini pastinya akan meninggalkan kenangan yang indah dan sentiasa diingati.
